Solat salah satu daripada rukun Islam yang lima, yang diwajibkan ke atas setiap muslim dan muslimat yang mukallaf (baligh dan berakal). Kefarduan ini telah disepakati ulama’ (ijma’) dan dikira sebagai (ما يُعْلـَمْ مِنَ الدِّينِ بالضَرُورَة) perkara asas agama yang diketahui oleh setiap muslim. Sesiapa yang mengingkari kewajibannya menjadi kafir dan murtad, kekal dalam neraka; kerana kefarduannya disandarkan kepada nas yang jelas dan qathi’e (tidak dapat ditokok tambah) daripada Al-Quran, As-Sunnah dan Ijma’.
Sesiapa yang meninggalkan solat kerana malas, bermudah-mudah atau sengaja tanpa menafikan kewajibannya tergolong dikalangan orang yang fasiq dan berdosa besar yang wajib ke atasnya beberapa perkara:-
1. Bertaubat, beristighfar serta menyesal di atas perbuatannya.
2. Mengqada’kan solat yang ditinggalkannya.
3. Dijatuhkan ke atasnya hukuman had.
Apabila masuknya waktu solat, wajib seseorang itu melakukan salah satu daripada dua perkara:-
1. terus mendirikan solat, itulah yang paling afdhal atau
2. azam untuk menunaikan solat dalam waktunya.
Jika tidak melakukan salah satu daripada perkara yang disebut di atas, sesungguhnya berdosalah dia. Ini dinamakan azam yang khas. Dan wajib bagi seseorang itu selepas baligh menyimpan azam yang umum untuk melakukan segala suruhan Allah dan meniggalkan segala laranganNya .
Haram hukumnya menangguhkan solat sehingga tidak sempat menunaikan solat dengan segala syarat dan rukunnya di dalam waktunya. Sesuatu solat itu dikira sebagai tunai (أداء) jika sempat mendapat satu rakaat daripadanya (selesai daripada sujud yang kedua). Apabila tidak mendapat walaupun satu rakaat, solat itu dinamakan Qada’. Tetapi dosa bukannya berkaitan dengan tunai atau qada’, seseorang itu telah dikira berdosa walaupun sempat mendapat satu rakaat di dalam waktu.
0 comments:
Post a Comment